Monday, December 8, 2008

raya Haji. Bicara tidak berjela.

Pagi-pagi lagi kami sudah bangun. Malam itu tidur kami awal. Tidak seperti kebiasaan sanak-saudara yang sudah lama tidak bertemu. Sesekali tidur terganggu mendengar nyamuk mengepakkan sayap kecilnya di telinga. Muzik yang berirama bengis. ‘Dia ingin menghisap darah’. Naluriku berkata begitu. Biar. Tidurku lebih diaulakan. Tidak luak darah ini buat nyamuk sebesar pasir. Saat azan berkumandang, abah turut meradang kerana anak-anaknya dan anak saudara yang lain masih dilamun mimpi. Aku terpisat-pisat mendengar abah melaung namaku. Boleh bergegar sukma mendengarnya.

Usai solat Subuh berjemaah di surau, kami mendengar ceramah. Sekadar tazkirah ringkas. “Innazzikra tanfaul mukminin”… itu ayat yang bergema di corong hatiku. Seringkas mana tazkirah yang diberikan, aku harus mencari sejuta hikma di dalamnya. Moga dipermudah.

Hari itu, aku terlupa mandi berniatkan mandi sunat Hari Raya. Terkilan. Hanya 2 kali dalam tahun Islam boleh berniat demikian. Usai mandi, aku bersiap. Memakai Jubah putih dan kopiah dalam warna yang sama. Putih, warna suci. Lambang kemurnian diri. Hati? Siapa aku untuk menilai kesucian sekeping hati?

Hujan renyai. Aku mengangkat jubahku sedikit tinggi setelah menyedari bahagian bawah telah terpalit kotor. Begitulah manusia. Mementingkan kebersihan luaran sedang dalamannya entah bagaimana. Terbiar dengan dosa dan murka.

Solat sunat Aidil Adha kali ini berimamkan Tuan Ibrahim Tuan Man. Seperti tahun-tahun sudah. Khutbahnya juga oleh beliau tanpa teks. Aku lebih menyenangi pencakapan sebegitu. Suaranya meninggi apabila sampai pada bahagian yang perlu dan merendah untuk menarik kembali perhatian kami yang telah terpana. Skil penyampaian yang amat bernas. Sama seperti abah barangkali. Mereka sepupu, berkawan sejak kecil. Pasti ada persamaan.

Isi khutbahnya menarik. Aku makin terbius untuk terus mendengar apabila beliau menyentuh tentang ‘politik kotor’.

Hmm, niat di hati ingin sahaja mengimbas kembali isi khutbahnya dan mencoretnya di sini. Namun, kekhuatiran akan kesalahan fakta bercanggah dengan apa yang diucapkan oleh beliau membantutkan niat ini. Aku manusia, tidak lari dari kesalahan. Niat yang baik, andai mengundang salah sangka hanya fitnah semata. Beliau telah menghurai dengan baik isi khutbahnya. Aku tidak ingin menjadi perosak kerana aku tidak pandai mengolah kata-kata.

Kisah seterusnya, aku patri bersama gambar. Aku tidak ingin banyak bicara. Gambar bawa seribu makna, kata-kata memberi erti.

hmm... ada masalah ketika meng'upload' gambar. Maaf. Jadi, sampai di sini sahaja... wassalam

0 k0t0rans: