Monday, December 15, 2008

cinta ada awal tiada akhir. Buat Tuhanku.

c.i.n.t.a

[fullstop.noktah.]

Namu, tiada apa yang akan berakhir dalam hidup ini. Kecuali setelah nafas melepasi kerongkong. Saat sakarat datang menjemput. Jasad terbujur kaku. Permulaan kepada sebuah episod baru.

C.i.n.t.a

Aku cuba menepisnya berulangkali. Namun, berulangkali jugalah aku kecundang. Kekalahan yang menambahkan bintik hitam di dada. Menggelapkan hati. Melemahkan minda. Cinta juga yang telah banyak merubah pemimpin menjadi hamba, alim menjadi jahil, celik menjadi buta, waras menjadi gila, Tuah menjadi Jebat! Aku tidak berbicara kosong. Intiku ilmu dan iman. Biar sedikit, namun ku harap dapat membuah rasa. Rasailah… penangan cinta!

“alarm berbunyi”
Fajar sudah menyinsing. Matahari menunjukkan sinarnya. Perit memandang cahaya yang menjadi penunjuk pertukaran siang dan malam. Satu putaran kehidupan yang indah. Jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Ah, aku terlepas. Beristighfar atas kekhilafan diri. Perlahan-lahan aku mengambil wudu’ di bilik air yang berdekatan dengan bilikku. Cuba menikmati kesegaran wudu’ yang mengundang keberkatan dalam hidup. Sebagai kewajipan yang perlu dilaksana sebelum mengerjakan solat. Tertib. Namun, hanya yang wajib. Muka, tangan, rambut, kaki… satu persatu.

Usai solat Subuh, aku bertafakur sejenak. Kenapa aku bangun lambat? Sampai solat subuh terlepas dari waktunya? Ah, alangkah berdosanya aku! Ya ALLAH, ampunkanlah dosaku. Kemudian, datang pula perkara lain menerjah ke dalam fikiran tanpa dipinta. Mencipta angan yang menyemai perasaan cinta pada dunia dan isinya. Astaghfirullah. Sejadah kulipat pantas. Mematikan segala angan bisikan syaitan.

Jam 8 pagi. Segalanya telah dipersiapkan untuk ke kuliah. Tiba-tiba terfikir tentang angan-anganku sebentar tadi. Mengapa wanita yang menguasai fikiranku ketika itu? Sambil berjalan menuju ke masjid untuk kelas tasmi’, aku membiarkan diri memikirkan persoalan itu. Fikiranku jauh menerawang menembusi angkasa raya. Jasad bagai robot bernyawa yang telah diprogram destinasinya. Masjid Darul Quran.
“cepat sikit!”
Jeritan ustaz Jihadi mengembalikan semula fikiranku. Tersentak sebentar namun kembali meneruskan perjalanan. Lagi beberapa langkah sahaja. Mujur aku tidak ditahan kerana lewat hadir ke kelas.

“ahh… sikitnya modal untuk tasmi’ hari nii… alahai. Ni yang takde mood ni…”

Rungutan biasa. Sekadar pembuka bicara. Tidak berniat untuk menyambung perbualan setelah dibalas dengan nasihat oleh teman yang mendengar. Hari baru, motivasi baru.
Setelah memperdengarkan hafazanku kepada ustaz Fazli. Aku segera meminta izin untuk berehat. Berjalan keseorangan ke dewan makan seperti tidak punya sahabat untuk berjalan bersama. Entah. Aku senang begitu pada hari ini. Meninggalkan kelompok temanku yang berjalan lambat, berbual-bual, bergelak-ketawa.

“Ya, ALLAH… aku nak berbalas sms dengan banat”
Aku tidak sengaja menuturkan doa itu. Hatiku sebak. Tidak cukupkah cinta ALLAH padaku. Sampai aku perlu mencari cinta yang lain? Ya ALLAH, jangan Engkau uji aku dengan wanita saat aku tidak mampu menanggungnya. Aku merayu padaMU… saat ini, aku tidak punya urusan dan keperluan dengan mana-mana banat. Aku masih belum mampu untuk membuang penyakit hati apabila berurusan dengan banat.

Aku menyudahkan makanku dengan perlahan setelah ketua kelas memberitahu ustaz sudah pulang ke rumahnya kerana ada urusan. Niatku untuk kembali ke masjid setelah bersarapan kumatikan. Aku ingin berehat di bilik. Memanjakan diri setelah penat menyelesaikan masalah hati. Aku ingin cari ketenangan. Biar sebentar, asalkan cukup untuk memberi kekuatan untukku meneruskan kehidupan sebagai seorang huffaz yang sememangnya akan sentiasa diuji.

Itulah realiti. Semakin kuat iman seseorang semakin beratlah ujian yang akan diterima. Mungkin aku tergolong dalam kalangan orang yang masih lemah imannya. Kerana itu, aku jarang diuji. Namun, pabila imanku kuat kelak… aku tetap berharap agar aku tidak diuji dengan ujian yang aku tidak mampu menanggungnya.

Tiba di bilik. Aku menghenyakkan badanku di atas tilam. Melegakan segala kesengalan pada sendi tubuhku. Tangan kiri ku letakkan di atas kepala. Tangan kanan memegang handphone. Aku memeriksa senarai ‘contacts’ pada telifon bimbitku ini.
“hmm, sorang perempuan pun takde ke?”
Keluhan halus terkeluar dari bibirku. Sebagai manusia, diri ini tidak dapat lari dari perasaan ingin menyayangi dan disayangi. Memberi dan diberi. Tapi, layakkah diri? Cinta pada Tuhan kerap terabai, ada hati ingin menambah cinta pada manusia?

Bisikan itu datang lagi. Perasaan yang hadir penuh berseni. Jujur, aku memang tidak mampu untuk mengungkai persoalan hati. Ianya mengganggu hatiku dari sudut yang paling dalam.

C.i.n.t.a

Tanpa iman yang sekelumit ini, mungkin aku sudah hanyut dalam pesona cinta. Namun ku tahu, di saat umurku belasan tahun ini, akalku secetek oasis yang kekeringan berbanding ilmu Tuhan, cintaku lebih kepada nafsu. Nafsu yang menjerat diri, menjadi hamba Taghut. Tiada keikhlasan dalam persahabatan lelaki dan perempuan. Sekadar suka yang mengundang nestapa di jiwa gara-gara semakin jauh dari tuhan.

Emosional dalam rasional. Mewajarkan sebelum bertindak menjadi jalan terbaik. Tuhan, mengapa ingatanku padaMU kian berkurang? Sedangkan bibir ini sentiasa melafaz Engkau cinta agungku. Apakah janjiku ini tidak pernah sampai dihati, mengetuk langit ilahi? ALLAH… Engkau cinta agungku selamanya. Ku pohon kekuatan darimu. Cinta itu sangat seni. Jangan biarkan diriku menghadapinya sendiri. Semoga rahmat dan kasihmu senantiasa bersamaku.amiin…

2 k0t0rans:

Anonymous said...

semoga berjaya melawan hawa nafsu

nik uqbah said...

insyaALLAH...